Thursday, October 2, 2008

Anda Tahu Apa Erti Kawan?

Apa erti kawan ? ...... Jika tidak suka menolong .
Apa erti kawan ? ...... Jika asyik bermasam muka .
Apa erti kawan ? ...... Jika kejujurannya dipertikaikan .
Apa erti kawan ? ...... Jika tiada rasa sayang .
Apa erti kawan ? ...... Jika tiada belas kasihan .
Apa erti kawan ? ...... Jika kebaikan tidak dinilai .
Apa erti kawan ? ...... Jika diri tiada teman .

Kawan yang mulia , memahami perasaan orang disisi
Kawan yang sebenar, menghargai persahabatannya
Kawan yang abadi.. sentiasa mengekalkan hubungannya

Friday, September 19, 2008

Emosi Dewasa_Kajian melalui pemerhatian

Perasaan yang dialami oleh golongan dewasa mampu memperlihatkan kematangan berfikir golongan dewasa. Biasanya golongan dewasa ini tidak ada masalah dalam menangani emosi mereka kerana mereka mampu memikirkan baik dan buruknya jika mereka melepaskan emosi mereka tanpa berfikir dahulu. Golongan ini biasanya emosi positif mereka lebih banyak berbanding dengan emosi negatif.


Dalam kehidupan seharian, golongan dewasa mempunyai perasaan sayang di mana emosi sebegini dapat kita lihat dalam pergaulan dan tindakan mereka terutamanya kepada golongan dewasa yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak. Ibu bapa yang sudah mempunyai anak menunjukkan sifat penyayang (affirmative caring) di mana mereka memupuk dan memberikan anak-anak mereka sokongan emosi melalui pelbagai cara yang dapat dikenalpasti secara jelas oleh anak-anak mereka. Cara memberikan kasih sayang ini bukan setakat memberikan pujian atau pelukan apabila anak-anak mereka memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan malah, ia melibatkan penyertaan yang aktif dalam kehidupan emotional kanak-kanak. Untuk menunjukkan sifat penyayang ini, ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur empat tahun hingga sembilan tahun patut menetapkan masa bermain (nonjudgmental time) beberapa hari dalam seminggu dan sentiasa memastikan anak mereka menghormati masa itu dan ibu bapa harus konsisten dengan tindakan mereka. Selain itu kasih sayang juga dapat dilihat pada golongan dewasa ketika mereka menjaga anak-anak mereka dengan baik dan mendidik anak-anak mereka ke jalan yang benar, dan memberi apa sahaja yang anak-anak mereka inginkan.


Seterusnya, emosi yang dialami oleh pada peringkat dewasa adalah emosi tertekan. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa ini lebih teruk jika dibandingkan dengan tekanan yang dihadapi oleh golongan remaja. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan emosi ini, antaranya adalah masalah kewangan, keluarga dan juga kerja. Bagi faktor kewangan, seseorang individu itu kemungkinan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga mahupun diri sendiri. Hal ini akan menyebabkan kecelaruan fikiran yang menjurus kepada emosi tertekan di kalangan golongan orang dewasa. Manakala bagi, faktor keluarga, masalah yang berlaku antara suami isteri seperti pergaduhan dan perselisihan faham boleh mendorong kepada tekanan emosi. Ini dinyatakan juga oleh Uthman Najati (1992: 67), yang menjelaskan bahawa manusia menghadapi gangguan dan ketidaktenteraman jiwa atau emosi apabila berlakunya konflik psikis atau pertembungan antara dua jiwa manusia iaitu jiwa yang beriman kepada Allah S.W.T dan jiwa yang menurut hawa nafsu. Terdapat segelintir golongan dewasa mengalami emosi marah misalnya antara adik-beradik dalam keluarga. Masalah kecil menjadi besar apabila salah satu dari mereka tidak puas hati. Contohnya kebiasaannya hak untuk memegang wahsiat. Ketidakpuasan hati salah seorang ahli keluarga menyebabkan pertengkaran malah pergaduhan itu membawa kepada putusnya pertalian keluarga. Emosi marah ini dialami oleh setiap golongan manusia, yang sering kalinya diganggu oleh masalah peribadi, ekonomi mahupun pekerjaan.

Emosi marah dalam kalangan individu juga dewasa berkait rapat dengan emosi tekanan. Seperti yang kita sedia maklum, golongan dewasa menghadapi tekanan yang lebih besar daripada golongan remaja. Oleh yang denikian, emosi marah adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam golongan indiviu yang dewasa. Emosi marah ini biasanya timbul dalam diri golongan orang dewasa apabila mengahadapi tekanan ataupun kekecewaan. Kekecewaan seperti kehilangan kerja atau sumber pendapatan ataupun kehilangan orang tersayang boleh menimbulkan emosi marah dalam diri solongan dewasa. Perasaan marah akan mudah timbul dalam diri seseorang individu kerana emosi yang tidak stabil dan akibat kecelaruan fikiran. Selain itu, tekanan yang dihadapi seperti dalam perkerjaan contohnya dimarahi oleh pihak majikan juga boleh menyebabkan emosi marah itu mudah timbul dalam diri golongan orang dewasa.

Seterusnya adalah emosi gembira dalam golongan orang dewasa. Emosi gembira ini sebenarnya bertentangan dengan emosi tertekan dan juga emosi marah. Emosi gembira ini biasanya akan timbul apabila melakukan sesuatu aktiviti yang menepati jiwa mereka contohnya apbila meluangkan masa bersama-sama anak-anak. Pada masa ini emosi tertekan dan emosi marah akan bertukar kepada emosi gembira. Disamping itu, perkara lain seperti kenaikan pangkat, dan kenaikan gaji juga kan turut menerbitkan emosi gembira dalam golongan orang dewasa. Maka dapat dikatakan bahawa golongan dewasa mempunyai emosi yang sama dengan remaja tetapi yang membezakannya adalah kematangan mereka dalam menangani emosi tersebut. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa setiap insan mempunyai ciri-ciri emosi yang berbeza.

Emosi Remaja_Kajian melalui pengalaman

Emosi yang dialami oleh remaja merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas mereka terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati 1993: 73). Remaja merupakan individu yang mudah dipengaruhi oleh emosi samada dalam tingkah laku mahupun pemikiran. Emosi remaja jika dibandingkan dengan emosi kanak-kanak, amat jauh bezanya kerana golongan remaja mempunyai pemikiran yang matang daripada kanak-kanak.

Emosi remaja boleh dibahagikan kepada dua, iaitu positif dan juga negatif. Emosi remaja yang positif adalah seperti gembira, suka, cinta, dan sebagainya. Emosi positif contohnya gembira biasanya timbul dalam diri remaja apabila mereka mendapat sesuatu yang diinginkan seperti mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Biasanya semua manusia akan berasa gembira apabila mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka. Seperti saya sendiri juga pernah mengalami situasi atau emosi gembira apabila mendapati keputusan ujian saya lulus dengan cemerlang dan saya gembira kerana dapat memasuki institusi pengajian tinggi yang akan dapat menjamin masa depan saya nanti. Selain itu juga, emosi ini juga boleh dipengaruhi oleh orang sekililing contohnya, sekiranya orang disekeliling dalam keadaan gembira secara tidak langsung akan turut mempengaruhi emosi seseorang remaja itu berubah menjadi emosi yang gembira.

Selain emosi gembira, remaja turut mempunyai ciri-ciri emosi suka, cinta dan sayang di mana seseorang remaja biasanya akan timbul dikalangan remaja bukan sahaja kepada ibubapa malahan juga kepada rakan-rakan, disamping itu juga pada usia remajalah, seseorang itu akan mula belajar untuk jatuh cinta kepada seseorang yang berlainan jantina. Emosi remaja yang suka akan seseorang pada usia mereka ini secara langsung dan tidak langsung akan melahirkan perasaan cinta dan sayang. Apabila kedua-dua pihak suka sama suka maka timbullah rasa cinta di hati mereka. Remaja memang amat kuat perasaan cinta mereka dan setelah mereka mula mencintai antara satu sama lain, rasa sayang itu akan berkembang dan di sini kita dapat lihat bahawa keegoan golongan remaja amat tinggi pada peringkat ini.

Manakala bagi emosi yang negatif pula adalah seperti tertekanan, sedih, kecewa, marah, cemburu dan lain-lain. Kasmini Kassim (1992: 26), Pakar Psikiatri Kanak-Kanak di Malaysia berpendapat bahawa, gangguan emosi yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka. Perubahan ketika zaman remaja, menyebabkan jangkaan dan aspirasi masyarakat terhadap golongan ini semakin tinggi. Keadaan ini menyebabkan remaja merasa lebih tertekan emosinya apabila mereka cuba memenuhi aspirasi diri mereka, aspirasi ibu bapa dan aspirasi masyarakat. Jika remaja gagal mencapai aspirasi-aspirasi ini, remaja akan mengalami kekecewaan.

Emosi seperti tertekan biasanya timbul apabila seseorang remaja itu berhadapan dengan tekanan seperti gagal dalam peperiksaan, menghadapi kekecewaan dalam percintaan, dan kehilangan orang yang tersayang seperti kematian ahli keluarga. Sekiranya seseorang remaja itu gagal menangani emosi tersebut, remaja tersebut akan terdorong untuk melakukan sesuatu yang negatif seperti membunuh diri dan melakukan ssesuatu yang kurang baik untuk melepaskan tekanan tersebut contohnya merokok dan menagih dadah. Oleh yang demikian bimbingan dan sokongan daripada keluarga terutamanya ibubapa amatlah diperlukan ketika seseorang remaja itu menghadapi kemurungan, kekecewaan mahu pun kekecewaan.

Situasinya berbeza apabila ibu bapa tidak mempunyai masa yang banyak untuk berinteraksi dengan anak-anak, menyediakan masakan, bermain, mendidik dan berbual-bual dengan anak-anak. Keadaan begini menyebabkan anak-anak rasa terpinggir, kecewa dan tidak dipedulikan. Sekiranya ia berlarutan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan tekanan emosi kepada anak-anak remaja (Parameshvara 1979:3). Malah konflik di peringkat umur remaja pula seringnya berlaku antara remaja dengan ibu bapa. Konflik ini timbul mengenai apa yang hendak mereka lakukan pada masa hadapan, eksploitasi pencapaian akademik yang berbeza antara remaja dan ibu bapa serta harapan yang terlalu tinggi supaya anak remaja berjaya. Keadaan perbezaan aspirasi, pandangan dan kehendak menimbulkan konflik. Menurut Habibah Elias (1997: 144), remaja lebih cenderung untuk bertindak, berfikir dan berpakaian seperti rakan sebaya, ibu bapa pula tidak bersetuju dengan kehendak mereka, maka di sini timbul konflik. Konflik yang berterusan ini boleh menyebabkan emosi remaja merasa tertekan malah mereka akan gelisah jika apa yang diiginkan oleh ibu bapa mereka tidak dicapai. Kajian Donna Mates dan Kenneth R. Allison (1992: 461), mendapati antara faktor akademik yang menyebabkan tekanan emosi remaja ialah tahap pencapaian akademik, persaingan untuk memasuki universiti, menyelesaikan tugasan atau tugasan yang terlalu banyak, guru yang terlalu tegas, jangkaan dan harapan guru yang terlalu tinggi terhadap pelajar dan sikap guru yang prejudis serta tidak meraikan remaja sebagai seorang dewasa.

Golongan remaja juga biasanya mumpunyai emosi negative di mana mereka ini mudah tersinggung atau marah. Remaja mudah berasa tersinggung apabila rakan sebaya, guru-guru, ibubapa mahupun masyarakat di sekelilingnya membuat kritikan yang negetif ke atas perbuatan yang dia lakukan. Kadang kala tersinggung apabila rakan-rakan senayanya mengumpat dia dari belakang, dan diketahuinya secara langsung. Malahan emosi marah yang dihadapi oleh remaja juga amat tinggi sekali. Remaja kalau tersinggung sekaligus emosi mereka akan bertukar kepada marah. Golongan remaja mudah marah apabila diejek oleh rakan-rakan sebaya, kadang kala emosi sebegini juga berlaku di rumah apabila apa yang dilakukan olehnya difikirkan tidak baik oleh ibu bapa, dan ibu bapa menegurnya, maka dia akan menjawab kata-kata ibubapa dengan nada marah.

Konklusinya, emosi remaja sebenarnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Emosi remaja yang kerap berubah merupakan sesuatu yang normal dihadapi pada peringkat usia remaja. Hal ini kerana pada usia tersebut, seseoang itu mencari identity dirinya yang sebenar. Namun demikian, seseorang remaja itu haruslah pandai menangani emosi mereka da tidak terbawa-bawa emosi mereka sampaikan mereka berniat melakukan sesuatu yang tidak bermanfaat. Oleh itu remaja haruslah pandai dalam mengawal emosi mereka dalam pergaulan seharian mereka.

Emosi Kanak-kanak_kajian melalui pemerhatian

Perasaan kanak-kanak amat berbeza dengan perasaan golongan remaja mahupun dewasa kerana emosi kanak-kanak ini dikategorikan kepada tiga jenis iaitu emosi diskrit, emosi kesedaran diri dan emosi empeti. Emosi diskrit adalah emosi asas yang dapat di kesan melalui air muka, misalnya suka, takut, marah, sedih atau duka, minat, terkejut dan jijik. Pada peringkat kira-kira 6 tahun, rasa segan, bimbang, putus harap dan iri hati berkembang daripada perasaan duka dan harapan serta kasih sayang terhadap orang dewasa berkembang daripada emosi suka. Pernyataan emosi yang lebih halus seperti yang terdapat pada orang dewasa daripada kematangan dan pembelajaran yang seterusnya berlaku pada zaman kanak-kanak dan remaja.


Selain emosi diskrit, Perkembangan emosi kanak-kanak juga merangkumi emosi yang berkaitan dengan kesedaran kendiri atau emosi yang berkaitan dengan kendiri kanak-kanak, seperti perasaan malu, bangga, dengki dan bersalah. Pada peringkat prasekolah, perasaan cemburu tehadap kawan-kawan sekelas adalah perkara biasa kerana mereka masih memerlukan rasa kasih sayang daripada ibu bapa dan guru. Kanak-kanak pada peringkat ini juga kerap mengalami emosi kesedaran diri dan menjadi semakin sensitive pada pujian dan kritikan orang lain (Lewis,1995; Lewis, Allesandri & Sullivan,1992). Sekiranya kanak-kanak selalu dipuji, mereka akan berasa bangga dan yakin terhadap kebolehan mereka sendiri. Sebaliknya, jika mereka dimarah kerana salah laku, mereka akan rasa bersalah, kadang kalanya mereka akan menangis, walaupun perkara itu merupakan satu kemalangan atau dilakukan dengan tidak sengaja (Graham, Doubleday & Guarino, 1984). Bandura (1986,1989) menyatakan bahawa perkembangan emosi kanak-kanak juga diperoleh dengan cara peniruan. Mereka meniru tingkah laku emosi yang diperhatikan daripada orang lain. Cara kanak-kanak menyatakan emosinya bergantung kepada apa yang dipelajari disekelilingnya. Misalnya, perasaan sedih berlaku apabila seorang kanak-kanak itu tidak dapat memiliki barang mainan yang disukainya. Ketika sedih, mereka akan mula merajuk dan kadang kalanya menangis kerana tidak dapat apa yang diingini. Biasanya emosi ini dialami oleh kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.


Satu lagi emosi yang berkembang pada peringkat kanak-kanak adalah empati. Kanak yang bertindak dengan empati lebih suka berkongsi dan menolong apabila mereka melihat seseorang dalam sedih (Eisenberg & Fabes,1998). Perkembangan empati bergantung kepada perkembangan intelektual dan bahasa dan disokong oleh personaliti dan pengalaman mereka. Kanak-kanak pada peringkat prasekolah yang lebih suka bersosial dan mahir dalam mengawal emosi lebih cenderung bersifat empati seperti yang dinyatakan oleh Eisenberg, 1992,1996. Pada awal umur prasekolah, kanak-kanak merujuk kepada sebab, akibat dan tanda perbuatan untuk mentafsir keadaan emosi mereka.Pada peringkat umur 7 tahun hingga 9 tahun, kanak-kanak mula sedar akan perasaan orang lain. Mereka mula belajar memahami perasaan orang lain melalui pengalaman dan interaksi dengan rakan sebaya. Kanak-kanak ini suka membuat sesuatu untuk menarik perhatian orang lain. Kanak-kanak pada peringkat ini sangat perasan terhadap kritikan dan cemuhan. Mereka mendapati susah untuk menyesuaikan diri dengan kegagalan. Ketika berumur 9 tahun hingga 12 tahun, kanak-kanak menghadapi dilema kerana nilai-nilai dan norma-norma kumpulan rakan sebaya berbeza dengan nilai norma ibu bapa atau orang dewasa. Mereka inginkan penerimaan daripada rakan sebaya tetapi pada masa yang sama mereka masih bergantung kepada ibu bapa. Kanak-kanak juga gemar menolong melaksanakan pelbagai tugasan, suka menerima tanggungjawab dan membantu orang lain tanpa mengharap ganjaran

Thursday, September 18, 2008

Pengenalan terhadap Kerohanian

Kerohanian atau rohani, dalam maksud terhad, merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan roh. Manakala dalam maksud yang lebih luas, membawa maksud semangat intrinsik yang dipunyai oleh segala jirim di dunia. Walaupun begitu rohani selalu dikaitkan dengan perasaan dalaman manusia yang melibatkan emosi kendiri dan penaakulan strategik.
Kesucian rohani sangat ditekankan dalam agama. Kesucian rohani membawa maksud keadaan mental yang logik dan mementingkan kebaikan manusia sejagat dan baharulah kebaikan individu itu sendiri. Rohani setiap individu merupakan penentu moral sosial masyarakat itu dan penetapan undang-undang.

Undang-undang penting dalam mengawal rohani manusia yang dijadikan bercampur baur di antara emosi positif dan emosi negatif dengan intuisi dan objektif bagi mencorakkan secara optimum manusia yang sempurna dari segi kelakuan dan personaliti.

Rohani yang kacau dikaikan juga dengan emosi negatif dari segi psikologi.

Manakala rohani yang sempurna selalu juga dikaitkan dengan aktiviti beragama individu yang tekun dan perbuatan baik yang banyak dilakukan oleh individu itu. Walaupun demikian, dari segi perspektif umum, individu yang mempunyai rohani yang baik diklasifikasikan oleh penentuan dan kepercayaan umum mengenai hal kelakuan kebaikan individu itu secara total. Membawa maksud individiu yang mempunyai kerohanian yang tinggi pada pandangan masyarakat adalah individu yang tidak pernah melakukan kesalahan langsung pada pandangan masyarakat walaupun ironinya setiap individu pasti melakukan kesalahan. Tetapi bagi individu kerohanian tinggi ini, emosi dan kelakuan negatif diperuntukkan untuk dilakukan ketika individu berada jauh dari masyarakat ataupun tidak ditonjolkan kesalahannya di kalangan masyarakat.

Renungan Bersama...Kesedaran Kendiri

Dalam badan manusia itu ada seketul daging,
Sekiranya baik daging itu,
Maka baiklah badan itu,
Sekiranya busuk daging itu,
Maka busuklah badan itu.
Dan daging itu adalah hati.

Apa yang hendak dipersoalkan itu? Kita sebagai manusia harus sedar akan diri kita sendiri....dan setiap apa yang kita perkatakan menunjukkan apa jenis kita ini. Yang baik dijadikan yang terbaik dan yang buruk kita jadikan baik.